Monday, May 13, 2013

200. Penegak Keadilan


Aku ingat lagi masa aku kecil sekolah rendah. Mungkin darjah satu atau darjah dua kot. Masa itu bulan Ramadhan. Paham-paham jela kalau budak-budak ni macam aku ni yang baru nak meningkat ke umur remaja, orang tua sahaja yang sembahyang tarawih kat hadapan. Belakang diorang mana ada sesiapa pun.

Kebanyakkan budak-budak ni akan pergi bermain. Ada yang main kejar-kejar dengan kawan-kawan. Ada yang yang main gasing. Ada yang main cyberpet dan digimon. Game yang lawan-lawan tu la.

Tapi kebiasaannya budak-budak akan bermain mercun la. Musim bulan ramadhan je musim yang syok nak main mercun ni. Bulan lain takde nafsu langsung orang kata. Bagi free pun tak pandang.

Nak dijadikan cerita, masa itu aku baik dengan adik aku, Uda dan Rais. Kawan lain tak campur sangat. Lepas je sembahyang isya’, kitorang gerak ke kedai depan. Nak cari stok mercun untuk bom geng lain. Masa ni siapa yang boleh buat orang pandang sebab bunyi mercun korang memang power.

“Bang, stok mercun ada?” Tanya Rais kepada abang jual mercun. Aku letak nama dia Man Mercun. Senang nak ingat walaupun bukan nama sebenar.

“Shhhh. Senyap sikit. Agak-agakla korang nak beli.” Balas Man Mercun. Aku dan yang lain pelik.

“Korang nak aku kena tangkap ke apa?” Sambung Man Mercun. Masa tu baru kitorang perasan yang mercun dah diharamkan oleh kerajaan. Kitorang geleng-geleng kepala.

“Jom ikut aku ke belakang.” Ajak Man Mercun. Kitorang ikut je seperti anak-anak ayam ikut ibu ayam. Masa itu aku ada nampak seorang budak lebih kurang umur aku je masuk ke kedai. Aku buat tak tahu sebab tak berapa kenal. Aku tahu rumah dia kat mana tapi tak kawan dengan dia.

“Korang nak mercun apa ni?” Tanya Man Mercun.

“Yang paling power la bang. Mercun mancis tiga kotak.” Jawab Rais. Aku dan Uda mendiamkan diri tanda setuju.

“Semua sekali RM3.00 je. Ni ada duit tak ni?” Kitorang angguk. Tiba-tiba tokei kedai merangkap mak Man Mercun panggil Man Mercun ke hadapan. Mungkin ada barang yang nak diambil. Man Mercun meletakkan beg dia yang penuh dengan mercun. Mungkin Man Mercun takut mak dia nampak.

Masa itu lah, budak yang aku nampak tadi datang ke arah kitorang dan mengambil mercun-mercun kat dalam tu. Dia pandang kitorang dan senyum sahaja. Kemudian dia berlari dengan menggunakan pintu belakang kedai.

“Bang! Ada budak ambil barang abang ni.” Jerit aku. Man Mercun berlari-lari anak ke arah kitorang dan terus periksa beg yang ditinggalkan tadi.

“Sial. Nasib baik ada lagi yang tinggal. Korang tahu tak siapa yang ambil tadi?” Tanya Man Mercun dengan marahnya. Siapa tak marah kalau barang kena ambil.

“Tahu bang. Budak tu duduk kat rumah jalan belakang tu.” Tunjuk aku. Rais dan Uda mengiyakan untuk meyakinkan Man Mercun.

“Okay, korang tunjuk kat aku mana rumah budak tu. Nanti aku bagi upah kat korang. Boleh?” Man Mercun memberi tawaran kepada kitorang. Kitorang angguk tanda setuju. Lagi-lagi masa ni la nak jadi penegak keadilan kan? Macam dalam televisyen tu la.

Kitorang terus berjalan ke arah jalan belakang dan menunjukkan rumah budak yang mengambil mercun tadi. Man Mercun menyuruh kitorang berdiri di luar pagar rumah budak itu. Dia seorang diri pergi mengetuk pintu rumah budak itu.

“Assalamualaikum! Ada orang tak?” Jerit Man Mercun dan mengetuk pintu rumah itu. Seorang perempuan tua membuka pintu rumah itu.

“Ya, ada apa ya? Tanya perempuan tua itu.

“Anak makcik ada tak?”

“Baru sahaja balik. Kenapa nak?”

“Sebenarnya dia ada ambil barang saya ni makcik. Kalau boleh, saya nak balik barang saya.” Jawab Man Mercun. Perempuan itu membuat muka terkejut dan memanggil anaknya tadi.

Mereka berbincang bersama dan akhirnya budak itu memberi balik mercun yang diambil kepada Man Mercun. Agaknya mak budak itu dah buat muka bagi budak tu takut. Aku tak pulak perasan.

“Jom.” Ajak Man Mercun. Kitorang tak tahu ke mana hala tuju yang ingin dibawa Man Mercun tetapi kitorang tetap ikut. Mengharapkan upah yang dijanjikan tadi.

“Sebab korang dah tolong aku tadi, jom aku jadi supplier mercun korang malam ni.” Man Mercun berkata. Kitorang teruja bukan main la kan.

Sedang dalam pejalanan dari rumah budak tadi yang di jalan belakang ke tempat permainan mercun berlangsung. Man Mercun nak test power. Biar semua orang terkejut dengan kehadiran kitorang.

“Ni mercun terpedo. Kalau meletup boleh gegar satu Segambut ni.” Kata Man Mercun dengan riak. Kitorang angguk je. Sebenarnya dalam hati aku memang teruja gila dah masa tu. Nanti budak-budak taman boleh salute dengan kitorang.

Piuungggggggggg. Bunyi mercun terpedo yang Man Mercun nyalakn tadi. Kuat gila. Berdebar hati aku. Berpusing-pusing naik ke atas. Mungkin tak tegak kata hati aku sendirian.

Tiba-tiba mercun terpedo tu terbang ke arah satu tempat yang diluar jangkaan kitorang.

“Wo-woi, mana mercun tu pergi woi!” Jerit Rais tapi dah terlambat.

BOOOOOOMMMMMM!

Memang kuat bunyi letupan mercun yang Man Mercun nyalakan tadi. Biasanya kitorang mesti gembira atau excited orang putih kata tetapi kali ni tak.

Sebabnya mercun terpedo tu meletup betul-betul atas surau yang orang tengah sembahyang terawih. Senyap sekejap imam yang rancak dari tadi. Terkejut barangkali.

Dah tu, kitorang lari la tetapi geng-geng buat moreh sempat kejar kitorang. Nasib baik masa tu, Man Mercun je yang kena tarik. Kitorang buat muka seposen kot, tu yang lepas.

NotaKaki : Sikit lagi nak masuk bulan ramadhan. Ish..

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...